
BRISTOL, 5 Mei: Kerajaan Sarawak terus melabur dalam pembangunan modal insan peringkat tinggi melalui inisiatif penajaan penuh bagi pengajian Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Bristol, United Kingdom.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan bahawa program tersebut, yang dikendalikan melalui kerjasama Yayasan Sarawak dan SMD Semiconductor, akan melahirkan pakar dalam bidang teknologi semikonduktor.
“Pelaburan dalam modal insan adalah sangat penting. Kita menyedari bahawa kejayaan jangka panjang bergantung kepada keupayaan kita untuk membangunkan bakat, membina kepakaran, dan mengekalkan keupayaan tersebut,” katanya ketika berucap pada sesi libat urus strategik semikonduktor bersama Universiti Bristol di sini.
Program PhD selama empat tahun itu merupakan sebahagian daripada pelan strategik di bawah Sarawak Semiconductor Roadmap 2030 untuk memastikan negeri mempunyai tenaga kerja mahir yang mampu bersaing di peringkat global.
Sesi libat urus strategik itu turut dihadiri pemain industri besar yang berpangkalan di UK seperti Rolls Royce, GKN Aerospace, dan Nexperia, yang menunjukkan minat mendalam terhadap ekosistem inovasi Sarawak.
Menurut Abang Johari, kerjasama antarabangsa seperti ini membolehkan Sarawak belajar dengan lebih pantas dan mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi global. – TVS