
KOTA SAMARAHAN, 21 Okt: SMD Semiconductor Sdn Bhd (SMD) meletakkan Sarawak di prinsip baharu industri teknologi apabila memeterai kerjasama strategik dengan syarikat Korea Selatan, Rebellions Inc. bagi membangunkan cip khusus untuk pusat data kecerdasan buatan (AI) berdaulat.
Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil berkata, usaha ini adalah titik permulaan penting untuk menggugat dominasi sistem pengkomputeran global sedia ada.
“Inilah kerjasama pertama antara dua negara, iaitu Sarawak, Malaysia dan Korea Selatan. Matlamat kami adalah untuk memecahkan dominasi sistem pengkomputeran legasi yang kini dikuasai syarikat seperti NVIDIA di Amerika Syarikat (AS).
“Ini merupakan langkah penting untuk mencari penyelesaian lebih mampan dan cekap tenaga bagi pembangunan pusat data AI berdaulat,” katanya ketika ditemui TVS semasa sesi temubual eksklusif di pejabat SMD Semiconductor di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerjasama ini akan memberi penyelesaian lebih cekap tenaga dan mampan kepada pusat data tempatan.
Selain itu, Shariman turut memaklumkan bahawa teknologi KETEQ AI dan keteq.AI-GaN yang dibangunkan SMD diselaraskan dengan aspirasi Kerajaan Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan kini diterapkan dalam projek bersama Rebellions.
Jelasnya, teknologi ini mampu meningkatkan kecekapan kuasa, kestabilan grid, selain menggunakan material gallium nitride untuk cip lebih pantas dan kecil.
Menurut beliau, pembangunan cip baharu ini akan memberi impak besar terhadap keselamatan teknologi negara.
“Bayangkan jika suatu hari negara memerlukan cip pusat data AI, tetapi ia tidak tersedia untuk kita. Maka kita akan terbantut dalam memproses maklumat dan melaksanakan tugas. Sebab itu sangat penting untuk Sarawak dan Korea Selatan bekerjasama memastikan teknologi ini dapat kita kuasai dan miliki,” ujarnya.
Tambah Shariman, projek ini dijangka menunjukkan kemajuan ketara dalam tempoh enam bulan akan datang sambil mengingatkan bahawa sebahagian maklumat masih belum boleh didedahkan kepada umum.
“Kami sedang bekerja mengikut garis masa yang ditetapkan bersama Rebellions. Akan ada perkembangan penting selepas ini, tunggu dan lihat,” kata beliau. – TVS