Satelit pertama Sarawak perkukuh keupayaan data

5 May 2026
 | 
1 min read
Featured Image

Ditulis oleh Eekbal Yusuf

Satelit pertama Sarawak perkukuh keupayaan data - TVShttps://www.tvsarawak.my/2026/05/05/satelit-pertama-sarawak-perkukuh-keupayaan-data/

https://www.instagram.com/p/DX9TTkyDHVz/Instagram

BRISTOL, 5 Mei: Sarawak melakar sejarah menerusi perancangan untuk membangun dan melancarkan satelit Low Earth Orbit (LEO) miliknya sendiri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah strategik ini, yang diterajui oleh SMD Semiconductor melalui penerokaan rakan kongsi dari United Kingdom (UK), bertujuan memperkukuh keupayaan data, khususnya dalam mendepani cabaran perubahan iklim serta meningkatkan infrastruktur telekomunikasi.

“Kita sedang meneroka usaha untuk membangun dan berpotensi melancarkan satelit Orbit Bumi Rendah (LEO) kita sendiri bersama rakan kongsi antarabangsa seperti UK.

“Teknologi ini menyokong keupayaan data penting yang memacu ketersambungan dan aplikasi dunia nyata, terutamanya dalam memperluaskan akses berkelajuan tinggi dan ‘low-latency’ ke kawasan luar bandar dan kawasan yang kurang mendapat liputan,” katanya ketika berucap pada sesi libat urus strategik semikonduktor bersama Universiti Bristol di sini.

Beliau menjelaskan bahawa pemilikan satelit itu akan membolehkan Sarawak membuat keputusan berasaskan data ‘hiper-lokal’ yang lebih tepat bagi pengurusan hutan, pemantauan maritim, dan sistem amaran awal banjir.

Bagi menyokong ekosistem ini, kerajaan katanya, turut menubuhkan Majlis Penasihat Aeroangkasa Sarawak dan Agensi Angkasa Sarawak untuk memastikan penyelarasan dasar serta perancangan jangka panjang sektor tersebut berjalan lancar.

“Data iklim bukan lagi sekadar alat sokongan; ia adalah aset strategik bagi kita,” tambah beliau. – TVS

Back to top Arrow