By Utusan Borneo
KUCHING: Sarawak menyasarkan peralihan daripada pengguna kepada pencipta teknologi melalui pembangunan industri semikonduktor tempatan serta mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor Sdn Bhd Dato Shariman Jamil berkata, pembangunan infrastruktur AI memerlukan sokongan teknologi tempatan bagi memastikan limpahan ekonomi dinikmati rakyat Sarawak.
Menurutnya penghasilan cip semikonduktor tempatan membolehkan Sarawak menyertai secara langsung rantaian nilai teknologi global khususnya dalam pembangunan pusat data kecerdasan buatan (AI).
“Kita mahu memberitahu pelabur bahawa jika mereka ingin membangunkan pusat data AI, mereka perlu menggunakan cip keluaran kita supaya pembangunan itu turut memberikan impak ekonomi tempatan termasuk peluang pekerjaan, pemindahan pengetahuan dan peluang kepada rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) ketika menyampaikan ucaptama pada Program US–Sarawak AI for Business Programme 2026 Opening and Panel di sini, hari ini.
Shariman menjelaskan, industri semikonduktor bukan sekadar menghasilkan komponen teknologi malah menjadi pemangkin pembentukan ekosistem berteknologi tinggi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak dalam jangka panjang.
Jelasnya, cip semikonduktor kuasa penting dalam pelbagai aplikasi moden termasuk tenaga diperbaharui, kenderaan elektrik, penyimpanan tenaga bateri dan infrastruktur pusat data AI.
Pada masa yang sama, kelebihan Sarawak dari segi bekalan tenaga diperbaharui menyediakan asas kukuh bagi pembangunan ekosistem semikonduktor tempatan yang berdaya saing.
Justeru, pembangunan keupayaan teknologi tempatan penting bagi memastikan pertumbuhan industri AI menarik pelaburan, mewujudkan pekerjaan, meningkatkan kepakaran tenaga kerja serta memperkukuhkan penyertaan Sarawak dalam industri bernilai tinggi.
Turut hadir Timbalan Pengerusi AZAM Sarawak Mohamad Ariff Irwani Azahari, Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak Ali Suhaili, Pengarah Teknologi dan Hal Ehwal Negara Foundation for American Innovation, Amerika Syarikat Joshua Levine serta Pakar Inisiatif Strategik Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur Shanon Phang.