Sarawak sasar jadi hab semikonduktor serantau

18 July 2026
 | 
2 min read
Featured Image
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berucap menyempurnakan program SMD IC Design Sarawak State Level Make-a-thon 2026 di Kuching pada Sabtu. Foto TVS

Link: https://www.tvsarawak.my/2026/07/18/sarawak-sasar-jadi-hab-semikonduktor-serantau/

KUCHING, 18 Julai: Sarawak terus memperkukuh komitmen untuk muncul sebagai hab industri semikonduktor serantau menerusi pembangunan ekosistem yang menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat, inovasi dan peningkatan keupayaan industri selaras dengan Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, industri semikonduktor kini menjadi pemacu utama kepada pelbagai teknologi masa hadapan termasuk kecerdasan buatan (AI), mobiliti termaju, automasi dan sistem pintar.

Menurut beliau, pembangunan industri itu penting kerana menjadi asas kepada pelbagai sektor strategik yang sedang dipacu kerajaan Sarawak.

“Semikonduktor merupakan pemangkin strategik kepada pelbagai teknologi yang membentuk masa depan. Melalui Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030, kita sedang membina ekosistem semikonduktor yang lebih kukuh dengan memberi penekanan kepada pembangunan bakat, inovasi dan keupayaan industri. Sebab itulah program seperti ini diadakan bagi memperkukuh ekosistem tersebut,” katanya ketika berucap pada program SMD IC Design Sarawak State Level Make-a-thon 2026 di Kuching pada Sabtu.

Tambahnya lagi, bakat merupakan faktor paling penting dalam memastikan kejayaan pelaksanaan pelan hala tuju berkenaan, justeru kerajaan negeri giat melahirkan tenaga kerja mahir bagi memenuhi permintaan industri.

Beliau berkata, selain semikonduktor, Sarawak turut memberi fokus kepada pembangunan sektor aeroangkasa, teknologi satelit, tenaga boleh baharu, hidrogen, ekonomi digital dan sektor angkasa lepas yang sedang berkembang.

“Semua sektor tersebut bergantung kepada teknologi cip semikonduktor, sekali gus menjadikan usaha memperkukuh industri itu amat relevan untuk masa depan ekonomi negeri.

“Untuk berjaya dalam sektor-sektor ini, kita memerlukan lebih ramai bakat tempatan yang berkemahiran tinggi. Jangan berasa gentar dengan istilah ‘berkemahiran tinggi’ kerana kemahiran itu boleh dipelajari dan diasah sehingga seseorang menjadi pakar dalam bidangnya,” ujarnya.

Pada masa sama, Roland turut menggesa golongan belia Sarawak supaya berani mencabar diri dan tidak mengehadkan potensi berdasarkan faktor geografi atau latar belakang.

“Belia Sarawak perlu yakin bahawa mereka mampu bersaing di peringkat global. Jangan hadkan potensi diri kerana peluang dalam industri teknologi termaju berkembang dengan sangat pesat dan kita mahu bakat tempatan menjadi peneraju kepada pertumbuhan tersebut,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri akan terus memperkasakan pembangunan modal insan bagi memastikan lebih ramai rakyat Sarawak mampu mengisi peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam industri berteknologi tinggi sekali gus menyokong aspirasi menjadikan Sarawak sebagai ekonomi berpendapatan tinggi berasaskan inovasi.-TVS

Back to top Arrow