Sarawak perkukuh kedudukan dalam industri semikonduktor global menerusi pemetaraian MoU

19 May 2026
 | 
3 min read
Featured Image

https://web.facebook.com/japensarawak/posts/sarawak-perkukuh-kedudukan-dalam-industri-semikonduktor-global-menerusi-pemetara/1492683199558984/?_rdc=1&_rdr#

Disediakan oleh : Toslin Meyub (BMKK)

Foto : Lance Dunstan (BKVS)

KUCHING, 19 Mei – Sarawak terus mengorak langkah memperkukuh kedudukannya dalam industri semikonduktor global menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) strategik melibatkan SMD Semiconductor Sdn Bhd bersama rakan teknologi antarabangsa bagi memacu pembangunan cip semikonduktor dan penyelesaian tenaga pintar berteknologi tinggi.

SMD Semiconductor telah memeterai kerjasama strategik dengan Photovoltaic Foundry Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura serta Linyang Energy Technology Co. Ltd. dari China menerusi pemeteraian MoU yang disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini.

Menurut Setiausaha Kewangan Negeri, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, inisiatif tersebut mencerminkan perkembangan signifikan Sarawak yang kini semakin menghampiri pelaksanaan sebenar dalam pembangunan industri semikonduktor, khususnya menerusi SMD Semiconductor yang disifatkan sebagai syarikat utama kerajaan negeri dalam sektor berteknologi tinggi.

“Kerjasama ini bertujuan membangunkan cip bagi teknologi tenaga generasi baharu melibatkan sistem solar, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), teknologi pembuatan pintar serta infrastruktur pintar, sekali gus menyokong usaha Sarawak memperluaskan keupayaan teknologi bernilai tinggi dan mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian industri semikonduktor global.

“Ia juga laluan penting kepada Sarawak untuk mengembangkan teknologi semikonduktor daripada peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada aplikasi industri komersial, termasuk pembangunan kandungan tempatan menerusi peralatan yang menggunakan cip keluaran SMD Semiconductor bagi pasaran tenaga global,” ujar Wan Lizozman.

Tambah beliau, inisiatif berkenaan turut menyokong pembangunan projek solar berskala besar dan solar atas bumbung sebagai sebahagian agenda tenaga hijau Sarawak, selain memberi tumpuan bukan sahaja kepada pasaran negeri tetapi juga pasaran serantau dan global.

Kerjasama itu mencerminkan peralihan jangka panjang Sarawak ke arah ekonomi berteraskan teknologi tinggi, inovasi dan kelestarian yang dipacu pemilikan harta intelek lebih kukuh, pembangunan industri maju serta pertumbuhan sektor bernilai tinggi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil berkata syarikat tersebut memberi fokus kepada reka bentuk cip dan pembangunan harta intelek (IP), manakala proses fabrikasi cip dilaksanakan melalui kerjasama dengan X-FAB Sarawak yang merupakan antara fasiliti faundri utama dunia berpangkalan di Kuching.

Beliau menjelaskan, kerjasama bersama Linyang dan rakan industri lain membolehkan cip keluaran SMD dimasukkan ke dalam produk komersial untuk pasaran tempatan dan global, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui serta teknologi pintar.

“Kolaborasi ini unik kerana kami menumpukan kepada teknologi cip semikonduktor dan bekerjasama dengan rakan produk untuk menembusi pasaran global,” katanya.

Dalam aspek komersialisasi, Shariman berkata tahun ini merupakan tahun pelaksanaan bagi SMD Semiconductor apabila syarikat itu memasuki fasa kedua pelan hala tuju pembangunan industri semikonduktor dengan memberi tumpuan kepada pengkomersialan cip, kerjasama bersama pemain global serta menarik pelabur ke Sarawak.

Antara produk yang sedang dibangunkan termasuk penyongsang kuasa (power inverter), panel solar, sistem penyimpanan tenaga bateri, meter pintar serta sistem berkaitan tenaga boleh diperbaharui bagi meningkatkan kestabilan grid tenaga dan menyokong agenda tenaga mampan negeri. - Jabatan Penerangan Sarawak

Back to top Arrow