Sarawak perkukuh ekosistem teknologi tinggi menerusi kerjasama industri, akademik dan kerajaan

5 February 2026
 | 
2 min read
Featured Image

By Willy Jali #bmBerita Sarawak 11:31 AM

KUCHING, 5 Feb: Kerjasama erat antara industri, institusi akademik dan kerajaan terus menjadi fokus utama Sarawak dalam membangunkan ekosistem teknologi tinggi yang mampan dan berdaya saing di peringkat global.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penglibatan University of Bristol, United Kingdom membuka ruang penting kepada institusi tempatan untuk menanda aras kurikulum, meneroka kerjasama penyelidikan dan memahami amalan terbaik universiti terkemuka dunia dalam bekerjasama dengan industri semikonduktor.

“Kita berada di sini kerana Sarawak telah mengambil pendirian yang jelas untuk membangunkan sebuah ekosistem semikonduktor yang kukuh dan mampan dan aspirasi ini mesti disokong oleh bakat yang tepat, institusi yang tepat serta rakan strategik yang tepat.

“Dalam konteks ini, kehadiran University of Bristol amat signifikan. Ia membolehkan kita berinteraksi secara langsung dengan sebuah universiti bertaraf global yang diiktiraf atas kepakaran dalam penyelidikan semikonduktor termaju,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menterinya, Datuk Francis Harden Hollis pada Majlis Penglibatan University of Bristol bersama Institusi Pengajian Tinggi, Institusi Teknikal serta Agensi Kerajaan di sini, hari ini.

Selain semikonduktor, beliau memaklumkan bahawa Sarawak juga sedang meneroka peluang dalam sektor teknologi tinggi lain seperti aeroangkasa, menerusi pembangunan pendidikan, latihan dan pendedahan industri berfokuskan kemahiran.

Langkah tersebut selaras dengan strategi jangka panjang negeri untuk mempelbagaikan ekonomi serta membina keupayaan teknikal dan kejuruteraan yang boleh diguna pakai merentas pelbagai industri bernilai tinggi.

Beliau berharap penglibatan bersama University of Bristol akan membawa kepada kerjasama berterusan dan bermakna terutama dalam pembangunan bakat, penjajaran kurikulum dan penyelidikan gunaan, bermula dengan bidang semikonduktor kompaun sebelum diperluaskan ke bidang inovasi lain. – TVS

Back to top Arrow