
Link: https://www.tvsarawak.my/2026/10/05/sarawak-perkenal-cip-kuasa-gan-pertama-tempatan/
By Ahmad Burhanuddin
KUCHING, 5 Okt: Sarawak hari ini memperkenalkan keteq.GaN, cip semikonduktor kuasa Gallium Nitride (GaN) pertama yang direka secara tempatan sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak ke-9 (IDECS) 2026.
Menurut SMD Semiconductor dalam kenyataan, modul kuasa keteq.GaN yang dibangunkan syarikat itu direka untuk aplikasi elektronik kuasa generasi baharu termasuk infrastruktur kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh baharu, sistem penyimpanan tenaga bateri dan grid pintar.
“Pembangunan itu turut menandakan peralihan SMD daripada membina keupayaan dalam industri semikonduktor kepada membangunkan dan memiliki teknologi serta harta intelek bernilai tinggi yang berasal dari Sarawak,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pengerusi SMD Semiconductor, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar berkata, perkara penting selepas pembangunan keteq.GaN adalah memastikan teknologi berkenaan bergerak melangkaui peringkat reka bentuk kepada aplikasi sebenar dalam industri.
“Kami mahu melihat teknologi yang dibangunkan di sini bergerak melangkaui peringkat reka bentuk dan mendapat tempat dalam aplikasi sebenar, sekali gus mewujudkan nilai bukan sahaja kepada SMD, tetapi juga industri semikonduktor Sarawak secara keseluruhan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil berkata, pembangunan keteq.GaN sejak awal memberi tumpuan kepada aplikasi yang memerlukan kecekapan kuasa dan pengurusan tenaga lebih baik, bukan sekadar menghasilkan semikonduktor sebagai demonstrasi teknologi.
“Sebab itu kami melihat aplikasi seperti kuasa AI, tenaga boleh baharu, penyimpanan tenaga bateri, grid pintar dan transformer keadaan pepejal pada masa hadapan,” jelasnya.
Terdahulu, pelancaran modul kuasa berkenaan disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada majlis pembukaan IDECS 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).-TVS