Sarawak mahu universiti tawar kursus reka bentuk litar bersepadu

1 February 2024
 | 
2 min read
Featured Image

KUCHING, 1 Feb: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MIETD) Sarawak menyeru universiti supaya memperkenalkan kursus reka bentuk litar bersepadu (IC) dalam kurikulum akademik.

Menterinya, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, langkah itu bagi memastikan graduan di Sarawak mempunyai kemahiran dalam teknologi kritikal itu.

Kata beliau, ini seterusnya akan menyediakan mereka untuk memenuhi permintaan landskap teknologi yang sentiasa berkembang selain mempunyai kelebihan daya saing dalam pasaran pekerjaan.

“Selain itu, memupuk kepakaran dalam reka bentuk IC turut menyumbang kepada pertumbuhan dan kemajuan keseluruhan industri tempatan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Train The Trainer: Talent Development in Semiconductors and Chip Design di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis.

Mengulas lanjut, Roland Sagah berkata, langkah untuk memperkenalkan kursus itu turut membantu meletakkan wilayah ini di barisan hadapan dalam menghasilkan bakat tempatan yang bernilai tinggi.

“Selain itu, (ia akan) membantu meningkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sektor perkilangan menerusi eksport yang menguntungkan seperti komponen dan cip semikonduktor.

“Dengan berbuat demikian, kita bukan sahaja melengkapkan graduan kita dengan kemahiran terkini tetapi juga memainkan peranan penting dalam meletakkan Sarawak sebagai pusat tumpuan untuk inovasi dan teknologi,” jelasnya.

Sementara itu, Roland Sagah turut menyeru pensyarah dalam bidang teknologi di universiti milik Kerajaan Sarawak untuk memberi pendedahan mengenai reka bentuk IC di dalam kurikulum mereka terutamanya sebagai bahagian penting dalam pengajian kejuruteraan elektrik dan elektronik.

“Kita juga menggalakkan para pensyarah untuk menyokong reka bentuk IC dan mempromosikannya sebagai pilihan kepada pelajar untuk memulakan pengajian mereka,” katanya.

Tambah beliau, Sarawak mampu menjadi bukan sahaja mampu untuk menjadi hab untuk kemajuan teknologi tetapi juga magnet untuk bakat dan inovasi. – TVS

Article originally posted here.

Back to top Arrow