ByTasha Jenkins Likan Anak Siti

- #bm, Berita Sarawak
- 3:27 PM
MIRI, 19 Julai: Miri terus mengorak langkah ke hadapan sebagai hab teknologi semikonduktor apabila Program Sarawak Microelectronics Design (SMD) IC Design Make-A-Thon 2025 mencetuskan gelombang baharu minat dan inovasi bakat muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, program berkenaan bukan sahaja memperkukuh asas pengetahuan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah menengah dalam reka bentuk litar bersepadu (IC) malah menjadi pemangkin kepada penghasilan tenaga pakar masa depan.
“Peningkatan penyertaan pelajar menunjukkan lonjakan minat terhadap STEM. Ini adalah isyarat positif dalam usaha kita melahirkan lebih ramai doktor, jurutera dan pereka cip generasi baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis penutupan Make-A-Thon di Universiti Curtin Malaysia yang mana program tersebut turut menyaksikan pengukuhan kerjasama antara sektor akademik dan industri melalui penubuhan SMD-Curtin IC Research and Innovation Hub.
Francis menjelaskan, inisiatif tersebut selari dengan Rangka Kerja Strategik Semikonduktor Sarawak 2030 yang bukan sekadar membangunkan infrastruktur tetapi memberi penekanan kepada pemerkasaan modal insan.
“Kita perlu melahirkan generasi pemikir dan pencipta yang mampu membangunkan teknologi sebenar daripada cip telefon pintar ke sistem automotif dan kecerdasan buatan (AI),” ujarnya.
Menurutnya, Miri kini bersedia melangkah ke fasa seterusnya sebagai nadi pembangunan teknologi di Borneo sekali gus menyokong aspirasi menjadikan Sarawak sebagai peneraju ekonomi digital serantau menjelang 2030.-TVS