Kerjasama SMD-Linyang buka laluan teknologi semikonduktor Sarawak ke pasaran global

14 August 2026
 | 
3 min read
Featured Image
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Sarawak Semiconductor Engagement bersama Linyang Group dan Majlis Menandatangani serta Pertukaran Dokumen MoA antara SMD Semiconductor dan Jiangsu Linyang Energy. Foto SMD

Link: https://www.tvsarawak.my/2026/08/14/kerjasama-smd-linyang-buka-laluan-teknologi-semikonduktor-sarawak-ke-pasaran-global/

Written by: Farah Elisabeth

SHANGHAI, 14 Ogos: Kerjasama antara SMD Semiconductor Sdn. Bhd. (SMD) dan Jiangsu Linyang Energy Co. Ltd. membuka laluan kepada teknologi semikonduktor Sarawak untuk digunakan dalam produk tenaga di pasaran global.

Kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum perjanjian (MoA) yang melibatkan penerapan dan pembekalan penyelesaian semikonduktor kuasa SMD, termasuk teknologi Gallium Nitride ke dalam platform produk Linyang.

Sehubungan itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata kerjasama itu mencerminkan kesepadanan antara inovasi mikroelektronik dan pembangunan tenaga hijau yang menjadi antara sektor strategik Sarawak.

“Perjanjian yang dilaksanakan ini mewakili penyelarasan yang praktikal dan tepat pada masanya antara inovasi mikroelektronik dan infrastruktur tenaga hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sarawak Semiconductor Engagement bersama Linyang Group dan Majlis Menandatangani serta Pertukaran Dokumen MoA antara SMD dan Jiangsu Linyang Energy Co. Ltd. di sini pada Khamis.

Menurutnya, kerjasama itu menggabungkan keupayaan reka bentuk litar bersepadu SMD dengan kepakaran Linyang dalam meter pintar, sistem penyimpanan tenaga bateri dan penyelesaian solar fotovoltaik.

“Dengan menggabungkan keupayaan reka bentuk IC SMD dengan kepakaran Linyang dalam meter pintar, sistem penyimpanan tenaga bateri dan penyelesaian solar fotovoltaik, kita mengambil langkah konkrit ke arah penggunaan teknologi bersepadu bernilai tinggi di Malaysia dan pasaran serantau,” katanya.

Dalam pada itu, Awang Tengah berkata, antara perkara yang dirancang ialah penubuhan Makmal Pengesahan IC dan Pejabat Kerjasama Bersama di Sarawak bagi memastikan pengujian, pengesahan dan sokongan teknikal dapat dilaksanakan secara tempatan.

Sementara itu, Presiden Linyang Group merangkap Pengerusi Linyang Energy, Lu Yonghua, berkata kekuatan kedua-dua syarikat saling melengkapi menerusi kepakaran dalam semikonduktor, meter pintar, tenaga boleh diperbaharui dan sistem penyimpanan tenaga.

“Rangkaian industri kami sangat saling melengkapi, dan kekuatan masing-masing secara semula jadi sejajar, menyediakan asas yang kukuh untuk kerjasama kami,” katanya.

MoA itu turut melibatkan penggunaan penyelesaian semikonduktor kuasa SMD dalam platform produk Linyang bagi aplikasi meter pintar, sistem penyimpanan tenaga dan infrastruktur tenaga maju.

Kerjasama berkenaan turut merangkumi penerokaan pembangunan ladang solar berskala besar serta usaha mengukuhkan penyertaan Sarawak dalam rantaian nilai semikonduktor dan tenaga bersih global.

Dalam pada itu, Jiangsu Linyang Energy Co. Ltd. menyifatkan Sarawak sebagai teras strategik bagi pengembangan teknologi semikonduktor dan tenaga hijau sebelum memperluas kehadirannya ke seluruh Asia Tenggara.

Presiden Linyang Group merangkap Pengerusi Linyang Energy, Lu Yonghua berkata, kerjasama dengan SMD Semiconductor akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek tempatan dan penyelidikan serta pembangunan (R&D) teknikal bersama.

“Linyang akan menjadikan Sarawak sebagai teras strategik utama kami. Kami akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek tempatan dan R&D teknikal bersama SMD.

“Berdasarkan perkara itu, kami seterusnya akan mengembangkan kehadiran kami di seluruh Asia Tenggara,” katanya.

Back to top Arrow