Link: https://www.tvsarawak.my/2026/11/23/cip-smd-pacu-pembangunan-ekosistem-ai-sarawak/
By Atikah Norman
KUCHING, 23 Nov: Sarawak berpotensi memperkukuh kedudukannya dalam ekonomi digital global menerusi pembangunan teknologi semikonduktor tempatan yang menggabungkan kelebihan tenaga boleh baharu dengan kecerdasan buatan (AI).
Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor Sdn. Bhd., Dato Shariman Jamil berkata, pembangunan teknologi semikonduktor dan sistem kuasa pintar merupakan asas penting dalam menyokong keperluan infrastruktur AI yang semakin berkembang, khususnya pusat data dan industri berteknologi tinggi.
“Semikonduktor kuasa membolehkan penukaran, kawalan dan pengurusan elektrik cekap, daripada penjanaan tenaga boleh baharu dan penyimpanan bateri hinggalah kepada sistem kuasa yang menyokong pusat data AI.
“Sarawak perlu bergerak melangkaui peranannya sebagai pembekal tenaga dan pengguna AI kepada pencipta teknologi semikonduktor, harta intelek serta penyelesaian bernilai tinggi bagi pasaran global,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Shariman, Sarawak mempunyai kelebihan strategik menerusi gabungan tiga sektor yang saling melengkapi iaitu tenaga boleh baharu, teknologi semikonduktor dan AI.
Tambahnya, teknologi AI berupaya mengoptimumkan penjanaan tenaga, sistem grid, penyimpanan tenaga serta operasi industri, manakala semikonduktor membolehkan pembangunan infrastruktur pengkomputeran dan sistem penukaran kuasa yang lebih cekap tenaga.
Dalam masa sama, sumber tenaga boleh baharu Sarawak mampu menyokong keperluan elektrik yang tinggi bagi pembangunan pusat data dan infrastruktur digital.
Antara pencapaian penting SMD Semiconductor ialah penghasilan keteq.GaN, cip semikonduktor kuasa Gallium Nitride (GaN) pertama yang direka bentuk di Sarawak dan diperkenalkan pada Oktober 2026.
Cip berkenaan dibangunkan untuk meningkatkan kecekapan penukaran dan pengurusan kuasa, dengan aplikasi merangkumi infrastruktur pusat data AI, sistem tenaga boleh baharu, penyimpanan tenaga, grid pintar serta elektronik kuasa industri.
Shariman berkata, inovasi itu mencerminkan usaha Sarawak untuk bukan sahaja membekalkan tenaga kepada perkembangan AI, malah membangunkan teknologi yang menjadikan penggunaannya lebih cekap, mampan dan berdaya saing.
“Sarawak mempunyai tenaga untuk menggerakkan masa depan. Melalui inovasi semikonduktor, kita sedang membina keupayaan untuk membentuk masa depan tersebut,” ujarnya.
SMD Semiconductor yang ditubuhkan oleh Kerajaan Sarawak pada 2022 turut memperluas pembangunan teknologi daripada reka bentuk litar bersepadu (IC) dan harta intelek kepada modul kuasa, kawalan pintar serta sistem kuasa bersepadu.
Sementara itu, U.S–Sarawak AI for Business Programme 2026 anjuran Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur menghimpunkan 120 peserta daripada agensi kerajaan, sektor perniagaan, industri, institusi pendidikan, kumpulan belia dan media.
Bertemakan ‘Use AI Safely, Grow with Confidence’, program berkenaan turut menampilkan Pengarah Dasar Teknologi dan Telekomunikasi di Foundation for American Innovation, Joshua Levine yang berkongsi perspektif antarabangsa mengenai pengurusan risiko AI termasuk perlindungan data, keselamatan siber, harta intelek, ketelusan dan pengawasan manusia secara bertanggungjawab.
Pada program tersebut, Shariman turut menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Beyond Energy: Sarawak’s Semiconductor Frontier – Powering AI and Green Industrial Evolution’.
Program itu turut menyaksikan sesi perbincangan panel bertajuk ‘AI for Business – Opportunities, Risks and the Sarawak Perspective’ yang menghubungkan perspektif antarabangsa dengan keperluan industri tempatan khususnya dalam membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengadaptasi teknologi AI secara bertanggungjawab.
SMD Semiconductor akan meneruskan usaha memperkukuh inovasi semikonduktor kuasa tempatan, memperluas kerjasama strategik antarabangsa serta mempercepat pengkomersialan cip, modul dan penyelesaian kuasa pintar rekaan Sarawak bagi meningkatkan penyertaan negeri ini dalam rantaian bekalan teknologi global.-TVS