Catat pelbagai pencapaian 2025, SMD Semiconductor lonjak pembangunan cip Sarawak

31 December 2025
 | 
3 min read
Featured Image

by THE MALAYSIA PRESS Hafiq Hassan EkonomiNegeri

KUCHING – Tahun 2025 menjadi detik penting dalam perjalanan Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor ke arah membina keupayaan yang mampan, berdaya saing dan berhubung secara global.

Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil berkata, industri semikonduktor global kini dipacu oleh perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), elektrifikasi, tenaga boleh baharu serta keperluan rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan.

Menurut beliau, tumpuan industri kini beralih kepada keupayaan reka bentuk cip dan integrasi sistem peringkat tinggi. Sejajar dengan perkembangan AI yang tidak lagi terhad kepada pusat data, malah meluas ke sektor tenaga, automotif dan infrastruktur industri.

“Peralihan ini menjadikan keupayaan reka bentuk, kedalaman kejuruteraan dan pembangunan bakat sebagai elemen kritikal, setara dengan keupayaan pembuatan,” katanya.

Seiring dengan landskap tersebut, SMD kekal memberi fokus kepada pelaksanaan yang berdisiplin, pengukuhan keupayaan kejuruteraan, pembangunan bakat serta kerjasama strategik.

Sepanjang tahun 2025, SMD mencatat beberapa pencapaian utama termasuk penubuhan Hab Inovasi Penyelidikan dan Pembangunan (R&D Innovation Hub) bersama CSA Catapult di Wales, sekali gus memperkukuh kerjasama penyelidikan dan pembangunan antarabangsa.

Selain itu, SMD turut mempamerkan teknologi penukar kuasa berasaskan AI pada Mobile World Congress 2025 di Barcelona serta memperluas lagi inisiatif kerjasama dengan CSA Catapult di United Kingdom bagi menyokong integrasi sistem dan inovasi teknologi.

Pada tahun yang sama, SMD melancarkan prototaip keteq.GaN sempena Microelectronics UK di London, meneruskan pembangunan dalam bidang semikonduktor sebatian dan elektronik kuasa, serta menganjurkan Pertandingan Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) SMD yang pertama dan IC Design Make-A-Thon kali kedua.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kami dalam membina saluran bakat yang kukuh dan relevan dengan keperluan industri,” jelas beliau.

Dalam usaha memperkukuh kerjasama antarabangsa, SMD turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Rebellions Inc. dari Korea Selatan bagi meneroka peluang kerjasama.

Shariman berkata, pencapaian berkenaan berpaksikan asas kukuh yang dibina sejak penubuhan SMD pada 2022, termasuk pembukaan Pusat Reka Bentuk Cip dan Akademi SMD serta perkembangan perkhidmatan reka bentuk IC dan kerjasama industri.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan atas sokongan padu dan berterusan yang telah mewujudkan persekitaran kondusif untuk pembangunan teknologi maju.

“Sokongan dasar yang jelas, kestabilan serta komitmen jangka panjang kerajaan amat kami hargai, di samping keyakinan berterusan daripada rakan akademik, industri dan ekosistem,” katanya.

Penghargaan turut diberikan kepada Ahli Lembaga Pengarah SMD atas bimbingan dan tadbir urus yang berkesan, serta kepada seluruh warga kerja SMD yang menjadi tulang belakang kejayaan organisasi.

Menjelang tahun 2026, Shariman menegaskan keutamaan SMD adalah kepada pelaksanaan dan impak sebenar, termasuk memastikan kerjasama yang dimeterai diterjemahkan kepada projek aktif, teknologi digunakan oleh pelanggan sebenar serta perkhidmatan reka bentuk dan kejuruteraan menjana pendapatan mampan.

Beliau turut berharap agar penggunaan teknologi dan perkhidmatan buatan Sarawak dapat dipertingkatkan dalam agensi kerajaan negeri dan persekutuan, sekali gus mengukuhkan keyakinan domestik dan ekosistem tempatan.

“Melalui kerjasama berterusan antara kerajaan, industri dan akademia, kami berhasrat untuk meletakkan Sarawak di pentas global industri semikonduktor dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya.

Back to top Arrow