Anak muda Sarawak terbang tinggi dalam semikonduktor

25 October 2025
 | 
2 min read
Featured Image

KUALA LUMPUR, 25 Okt: Di sebalik usaha Malaysia memperkukuh kedudukan sebagai pemain utama industri semikonduktor dunia, sekumpulan anak muda Sarawak kini membuktikan kemampuan mereka bersaing dalam bidang teknologi tinggi melalui Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor Sdn. Bhd.

Melalui program latihan reka bentuk litar bersepadu (IC Design), SMD berjaya melahirkan generasi jurutera muda yang bersedia menghadapi cabaran industri global, sekali gus memperkukuh peranan Malaysia khususnya Sarawak sebagai hab teknologi baharu di rantau ASEAN.

Bagi Jurutera Reka Bentuk Litar Bersepadu Analog SMD, Awang Azfanurisham Awang Zaid, 26, kehadiran SMD menjadi pemangkin besar kepada pembangunan industri teknologi tinggi tempatan.

“Peranan SMD di Sarawak amat signifikan dalam mengangkat nama negeri serta negara ke peringkat global sebagai hab semikonduktor rantau ASEAN, dan saya yakin sasaran itu dapat dicapai dalam beberapa tahun akan datang.

“Kita mempunyai keupayaan bersaing dengan bakat dari Eropah dan Amerika Syarikat. SMD pula menyediakan platform yang tepat untuk mencapai potensi tersebut,” katanya kepada TVS.

Beliau ditemui pada acara Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2025 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Sementara itu, Chai Yi Wei, 24, graduan latihan reka bentuk IC analog berkata, pengalaman bersama SMD membuka peluang besar untuk memahami dunia semikonduktor dengan lebih mendalam.

“SMD banyak memberi peluang kepada kami untuk meningkatkan kemahiran. Melalui program Mastery yang saya sertai, saya dapat belajar dari asas hingga mampu menghasilkan rekaan sendiri,” ujarnya.

Yi Wei turut berpendapat Sarawak memiliki potensi besar menjadi pusat tumpuan bakat muda dalam bidang semikonduktor.

“Ramai bakat Sarawak belajar di luar negeri kerana menyangka peluang kerja lebih baik di luar, namun Sarawak kini sedang meningkat naik dalam industri ini,” jelasnya.

Bagi Jeff Fong Jun En, 26, Jurutera Reka Bentuk Perkakasan di SMD, bidang reka bentuk IC merupakan cabang teknologi yang unik dan mencabar serta memberi peluang kepadanya menyumbang kepada kemajuan negeri.

“Saya berasa bangga sebagai anak Sarawak yang dapat mempromosikan negeri kita di peringkat global.

“Kami di SMD ingin menjadi pencetus kepada kebangkitan industri reka bentuk IC di Sarawak,” jelasnya.

Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor Sdn. Bhd. ialah syarikat milik penuh Kerajaan Sarawak yang ditubuhkan pada tahun 2022 untuk memacu pembangunan industri semikonduktor serta meletakkan Sarawak sebagai pemain kompetitif dalam ekosistem mikroelektronik dan reka bentuk litar bersepadu.

SMD juga merupakan sebahagian daripada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, yang berhasrat mempelbagaikan ekonomi Sarawak daripada sektor berasaskan sumber kepada industri bernilai tinggi berteraskan inovasi dan teknologi.-TVS

Back to top Arrow