SMD Semiconductor cari bakat dalam bidang reka cip dan AI di MSRD 2025

9 October 2025
 | 
2 min read
Featured Image

KUALA LUMPUR, 6 Okt: Rakyat Malaysia, khususnya anak muda Sarawak, berpeluang merebut kerjaya bernilai tinggi dalam industri semikonduktor menerusi Sarawak Microelectronic Design (SMD) Semiconductor pada Malaysia Semiconductor Recruitment Day (MSRD) 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur, minggu ini.

Syarikat milik penuh Kerajaan Sarawak itu bakal mengetengahkan pelbagai peluang kerjaya dalam reka bentuk cip, kecerdasan buatan terbenam (embedded AI) dan elektronik kuasa di Reruai SMD #6030, Dewan 6, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 8 hingga 11 Oktober ini.

Pengerusi SMD Semiconductor, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, berkata penyertaan syarikat itu di MSRD 2025 merupakan usaha memperkasa bakat tempatan, khususnya generasi muda, selaras dengan visi Premier Sarawak menjadikan negeri itu sebagai ‘Silicon Nerve of Asia’ pada masa hadapan.

“Pembangunan bakat bukan sahaja penting untuk inovasi, tetapi juga memastikan anak Sarawak memainkan peranan penting dalam industri berimpak tinggi ini.

“Kita mahu mereka menjadi sebahagian daripada pemacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, misi SMD bukan sekadar pengambilan pekerja semata-mata, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha membuka peluang kepada jurutera, saintis dan graduan baharu Sarawak untuk menyertai ekosistem teknologi global.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil, berkata syarikatnya kekal komited membangunkan bakat Sarawak dan membawa mereka ke peringkat antarabangsa.

“Fokus kami kekal kepada pembangunan insan, khususnya bakat Sarawak, selain memberi peluang kepada mereka dalam bidang semikonduktor yang menjadi tulang belakang kepada teknologi moden — daripada telefon pintar hingga satelit.

Di SMD, kami memastikan kakitangan dapat berkembang, berinovasi dan membantu menjadikan Sarawak sebagai antara pemain utama dalam landskap teknologi Malaysia dan serantau,” katanya.

Antara inisiatif utama SMD dalam pembangunan bakat ialah Semiconductor Mastery Programme yang dikendalikan oleh Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), menawarkan latihan peningkatan kemahiran selama enam bulan.

Sebagai syarikat reka bentuk cip tanpa kilang (fabless) pertama milik Kerajaan Sarawak, SMD turut menjadi antara 30 syarikat utama yang menyertai MSRD 2025.

Program anjuran Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (SIDEC) bersama Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) dan Malaysia Semiconductor IC Design Park itu akan menampilkan lebih 500 kekosongan jawatan.

Temu duga secara langsung akan diadakan pada 10 dan 11 Oktober ini bagi mereka yang berminat menceburi bidang teknologi semikonduktor. – TVS

Back to top Arrow