KUCHING, 29 Nov: Kerajaan Sarawak komited memperkasa industri semikonduktor di negeri ini menerusi suntikan dana berterusan kepada SMD Semiconductor selaku pemain industri utama di wilayah ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata peruntukan kepada SMD Semiconductor disalurkan berdasarkan tuntutan industri berkenaan yang memerlukan dana yang besar untuk beranjak ke satu peringkat yang lebih tinggi.
“Kerajaan Sarawak komited menyuntik dana berjumlah RM50 juta kepada SMD Semiconductor dan perkara ini telah dirangkumkan pada pembentangan Belanjawan Sarawak yang lalu.
“Apa yang boleh saya katakan sekiranya prestasi SMD berada pada tahap memberangsangkan, ada pulangan dan potensi, sekiranya anda mahu, kami di pihak kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menyuntik (dana) lebih lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika menghadiri Majlis Makan Malam Tahunan SMD Semiconductor di sebuah hotel terkemuka di sini pada Khamis.
Dalam pada itu Abang Johari turut memberi penekanan bahawa Sarawak tidak berkeberatan untuk menyalurkan dana bagi tujuan pendidikan anak-anak muda bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam industri semikonduktor serta ekonomi baharu.
“Bekerjasama dengan Cambridge, kita mempunyai ujian Tingkatan 3, Tingkatan 5. Bukannya jika mereka gagal, ia sudah berakhir. Kami mahu menguji kecerdasan mereka.
“Jika kenaikan secara automatik tanpa sebarang medium untuk mengujinya, maka anda tidak tahu standard pelajar kita dan jika anda ingin pergi ke industri seperti ini, (pemikiran) mereka mesti sangat tajam.
“Anda mesti tahu fizik, anda mesti tahu matematik, anda mesti tahu kimia dan ini sangat penting. Kalau nak belajar astronomi, nak belajar cip, sekurang-kurangnya mesti tahu logamnya. Kalau nak belajar cip mesti tahu logam dan jenis kimia apa yang boleh digunakan,” tegasnya.
Justeru katanya Sarawak bukan mengelak untuk mengikut dasar pendidikan negara tetapi mengambil kira kepentingan Bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian dan masa hadapan. -TVS
Article originally posted here.