
Link: https://www.utusanborneo.com.my/2026/08/14/teknologi-semikonduktor-sarawak-bakal-terokai-pasaran-global
SHANGHAI: Teknologi semikonduktor yang dibangunkan di Sarawak bakal memasuki pasaran global menerusi kerjasama strategik antara SMD Semiconductor Sdn. Bhd. (SMD) dan Jiangsu Linyang Energy Co. Ltd. (Linyang Energy).
Kerjasama itu membuka laluan kepada teknologi semikonduktor kuasa SMD, termasuk teknologi Gallium Nitride (GaN), untuk direka bentuk dan digunakan dalam platform produk tenaga pintar Linyang Energy, termasuk meter pintar dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) bagi pasaran antarabangsa.
Memorandum Perjanjian (MoA) antara kedua-dua syarikat itu dimeterai sempena Misi Pelaburan Sarawak ke Shanghai, China yang diketuai Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Khamis.
Kerjasama berkenaan dilihat sebagai langkah penting dalam usaha Sarawak mengubah keupayaan teknologi semikonduktornya daripada peringkat pembangunan kepada aplikasi komersial berskala tinggi dan pasaran antarabangsa.
Di bawah MoA itu, SMD dan Linyang Energy akan mengenal pasti, menilai dan mengintegrasikan teknologi SMD ke dalam platform produk terpilih milik Linyang Energy.
Fokus awal merangkumi peranti semikonduktor kuasa, penyelesaian kuasa berasaskan GaN serta teknologi kuasa pintar untuk aplikasi meter pintar, sistem penukaran kuasa, penyimpanan tenaga dan infrastruktur tenaga termaju.
Awang Tengah berkata kerjasama itu mencerminkan hubungan yang semakin rapat antara aspirasi Sarawak dalam sektor semikonduktor dengan usaha negeri membangunkan hab tenaga bersih utama di rantau ini.
“Industri semikonduktor berkait rapat dengan transformasi sistem tenaga, daripada pemeteran pintar dan pengurusan kuasa kepada penyimpanan tenaga.
“Dengan menggabungkan keupayaan semikonduktor Sarawak dengan kepakaran Linyang Energy dalam bidang ini, kita memperkukuh hubungan antara dua sektor strategik yang bakal membentuk masa depan industri,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi SMD Semiconductor, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar berkata kerjasama tersebut membuktikan Sarawak mampu memainkan peranan bermakna dalam rantaian nilai semikonduktor global.
Katanya, strategi SMD adalah membangunkan teknologi semikonduktor di Sarawak, membina kerjasama dengan rakan industri bertaraf dunia dan menghubungkan teknologi berkenaan secara langsung dengan pasaran antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil berkata perjanjian itu bukan sekadar membabitkan pembekalan semikonduktor, sebaliknya mewujudkan laluan bagi teknologi yang dibangunkan di Sarawak untuk digunakan dalam produk yang dipasarkan di seluruh dunia.
“Melalui platform meter pintar dan penyimpanan tenaga global Linyang, kita mempunyai peluang membawa teknologi semikonduktor kuasa dan GaN SMD daripada peringkat reka bentuk serta kelayakan kepada aplikasi komersial berskala tinggi,” katanya.
Kerjasama itu akan dimulakan dengan penilaian teknikal, padanan produk, reka bentuk, kelayakan dan pengkomersialan, dengan pasukan teknikal kedua-dua syarikat mengenal pasti peluang penggunaan teknologi semikonduktor dalam portfolio produk Linyang Energy.
Presiden Linyang Group merangkap Pengerusi Linyang Energy, Lu Yonghua berkata pihaknya komited menyokong Sarawak mencapai sasaran pemasangan tenaga baharu serta bersama-sama memajukan Sarawak sebagai hab industri dua teras di Asia Tenggara yang dipacu tenaga hijau dan semikonduktor.
Kerjasama itu turut membuka laluan pasaran kepada SMD merangkumi China, Asia Pasifik dan rangkaian pelanggan antarabangsa Linyang Energy, sekali gus memperkukuh penyertaan Sarawak dalam rantaian nilai semikonduktor dan tenaga bersih global.
Kerjasama SMD-Linyang Energy itu menjadi satu lagi langkah dalam usaha Sarawak mentransformasikan inovasi semikonduktor tempatan kepada teknologi bernilai tinggi yang boleh digunakan di pasaran global.