
KUCHING, 18 JULAI - Program SMD IC Design Make-A-Thon 2026 menjadi platform strategik dalam melahirkan bakat tempatan yang mampu memenuhi keperluan industri semikonduktor dan teknologi berimpak tinggi di Sarawak.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, berkata pembangunan modal insan berkualiti merupakan faktor paling penting bagi memastikan Sarawak terus berdaya saing dalam sektor teknologi masa depan.
Menurut beliau, program berkenaan bukan sekadar pertandingan, malah inisiatif pembangunan bakat yang memberi pendedahan awal kepada pelajar dalam bidang reka bentuk litar bersepadu (IC Design), inovasi serta penyelesaian masalah yang menjadi kompetensi utama industri masa hadapan.
"Begitu ramai peserta yang mengambil bahagian pada kali ini. Ini menunjukkan bahawa rakyat Sarawak, khususnya golongan muda, mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi, beraspirasi serta bersedia memanfaatkan peluang dalam bidang teknologi canggih apabila diberikan platform yang bersesuaian. Justeru, di sinilah kami menyediakan platform tersebut untuk anda," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan SMD IC Design Make-A-Thon 2026 di Kuching, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa memastikan pembangunan pendidikan, bakat dan keperluan industri bergerak seiring supaya graduan tempatan memiliki kemahiran yang relevan dengan kehendak pasaran.
Tambah beliau, ekosistem pendidikan juga perlu berkembang selaras dengan perubahan pesat industri bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berfikiran kritis, inovatif serta bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Ujarnya, Sarawak kini giat membangunkan sektor strategik seperti semikonduktor, aeroangkasa, teknologi satelit, tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, ekonomi digital dan sektor angkasa lepas yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Sehubungan itu, beliau menggesa golongan muda supaya tidak takut menghadapi kegagalan kerana pengalaman tersebut menjadi asas kepada kejayaan, selain terus berusaha dan yakin bahawa anak Sarawak mampu bersaing di peringkat global.
Wartawan: Mike