Sarawak sasar segmen semikonduktor bernilai tinggi di peringkat global

1 June 2026
 | 
2 min read
Featured Image

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semasa sesi libat urus bersama Korea Semiconductor Industry Association (KSIA) di Seoul, Korea Selatan, hari ini. Foto SMD Semiconductor (FB)

Link: https://www.tvsarawak.my/2026/06/01/sarawak-sasar-segmen-semikonduktor-bernilai-tinggi-di-peringkat-global/

By Ahmad Burhanuddin

SEOUL, 1 Jun: Sarawak menyasarkan untuk melangkah lebih jauh dalam rantaian nilai industri semikonduktor global dengan memberi tumpuan kepada segmen berimpak tinggi dan berasaskan pengetahuan, sejajar usaha negeri itu muncul sebagai hab teknologi serantau.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, aspirasi itu dibina berasaskan kekuatan Malaysia yang telah lama diiktiraf sebagai pemain penting dalam industri semikonduktor global, khususnya dalam aktiviti pemasangan, pengujian dan pembungkusan.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan turut mengiktiraf peranan dan potensi Sarawak sebagai hab semikonduktor yang sedang berkembang dalam agenda pembangunan industri dan teknologi negara.

Oleh itu, katanya, Sarawak kini berusaha memperkukuh kedudukannya dalam segmen bernilai tinggi yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi mampan dan berdaya saing.

“Berdasarkan asas yang kukuh ini, Sarawak kini beraspirasi untuk bergerak lebih jauh dalam rantaian nilai ke arah segmen industri semikonduktor yang lebih bernilai tinggi dan berintensifkan pengetahuan,” katanya semasa sesi libat urus bersama Korea Semiconductor Industry Association (KSIA) di Seoul, Korea Selatan, hari ini.

Mengulas lanjut, jelas Awang Tengah, kedudukan strategik Sarawak di Pulau Borneo, di tengah-tengah Asia Tenggara, meletakkan negeri itu sebagai pintu masuk penting kepada pertumbuhan teknologi dan industri serantau.

Pada masa sama, menurut beliau, Sarawak giat membangunkan ekosistem semikonduktor melalui SMD Semiconductor yang ditubuhkan pada 2022 bagi memacu pembangunan industri berteknologi tinggi serta memperkukuh penyertaan negeri dalam rantaian nilai teknologi global.

“Selain semikonduktor, Sarawak turut memberi tumpuan kepada teknologi pengurusan kuasa, Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), infrastruktur kecerdasan buatan (AI), teknologi pengkomputeran maju termasuk Unit Pemprosesan Neural (NPU) dan Unit Pemprosesan Grafik (GPU) serta teknologi satelit dan angkasa lepas,” ujar beliau.

Tambahnya, usaha berterusan antara kerajaan, pemain industri dan institusi berkaitan amat penting bagi memupuk inovasi serta mewujudkan kerjasama strategik yang mampu memperkukuh daya tahan ekosistem teknologi pada masa hadapan. – TVS

Back to top Arrow