
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. Foto fail TVS
Link: https://www.tvsarawak.my/2026/06/01/sarawak-perkukuh-kerjasama-strategik-semikonduktor-bersama-ksia/
SEOUL, 1 Jun: Sarawak terus mengorak langkah memperkukuh kedudukannya sebagai hab teknologi tinggi dan semikonduktor serantau menerusi sesi libat urus strategik bersama Korea Semiconductor Industry Association (KSIA) yang dikendalikan oleh SMD Semiconductor di Seoul, Korea Selatan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Sarawak kini giat memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi mempercepat pembangunan teknologi, menarik pelaburan berkualiti serta meningkatkan penyertaan negeri ini dalam rantaian nilai semikonduktor global.
“Sarawak sedang melalui perjalanan transformasi untuk meletakkan dirinya sebagai hab teknologi serantau yang sedang muncul. Fokus kami bukan sahaja kepada tarikan pelaburan, tetapi juga pembangunan ekosistem, pemupukan bakat, kerjasama teknologi dan kelestarian industri jangka panjang,” menurut SMD Semiconductor dalam satu kenyataan media, hari ini.
Delegasi berkenaan turut disertai wakil daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak (MUDeNR), Sarawak Energy Berhad (SEB), InvestSarawak, Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) serta Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).
SMD Semiconductor yang ditubuhkan pada 2022 dan dimiliki sepenuhnya Kerajaan Sarawak menerusi State Financial Secretary Incorporation (SFS Inc.) memainkan peranan penting sebagai syarikat reka bentuk cip semikonduktor tanpa kilang (fabless) yang memberi tumpuan kepada teknologi litar bersepadu analog dan campuran isyarat.
Menurut kenyataan itu, teknologi tersebut menyokong pelbagai aplikasi termasuk elektronik moden, sistem industri, infrastruktur tenaga bersih, kecerdasan buatan (AI) dan penyelesaian mobiliti masa depan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil berkata, syarikat itu kini memasuki fasa kedua pelan hala tujunya dengan memberi tumpuan kepada pelaksanaan strategi, pengembangan ekosistem dan kerjasama industri.
“SMD Semiconductor kini memasuki fasa seterusnya dalam pelan hala tujunya. Asas dan pencapaian awal telah dibuktikan dan keutamaan kami selepas ini adalah memastikan momentum berterusan, memperluas kerjasama strategik serta menterjemahkan perancangan kepada hasil industri yang boleh diukur,” kata kenyataan itu lagi.
Jelas kenyataan itu, kerjasama dengan KSIA dilihat mampu membuka peluang baharu dalam bidang teknologi pengurusan kuasa, Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), infrastruktur AI, teknologi pengkomputeran maju serta teknologi satelit dan orbit rendah bumi (LEO).
Kenyataan itu menambah, langkah berkenaan turut melengkapkan usaha Sarawak meneroka pembangunan satelit pertama negeri itu serta memperkukuh pembangunan bakat semikonduktor menerusi kerjasama dengan University of Bristol, United Kingdom dan Yayasan Sarawak. – TVS