Ditulis oleh Jessica Jawing
KUCHING: Sarawak terus mengorak langkah memperkukuh industri semikonduktor dan teknologi hijau apabila syarikat milik negeri, SMD Semiconductor memeterai memorandum persefahaman (MoU) strategik bersama dua syarikat antarabangsa iaitu dari Singapura dan China di sini, hari ini.
MoU bagi mempercepat pembangunan teknologi tenaga dan infrastruktur pintar di rantau ini, dimeterai antara SMD Semiconductor bersama Photovoltaic Foundry Pte Ltd (Singapura) dan Jiangsu Linyang Energy Co Ltd (China).
Setiausaha Kewangan Sarawak merangkap Pengerusi SMD Semiconductor Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar berkata, kerjasama itu mencerminkan usaha jangka panjang Sarawak dalam memperkukuh pembangunan teknologi dan industri masa depan.
Katanya, kerjasama berkenaan menghimpunkan kepakaran setiap pihak bagi menyokong pembangunan aplikasi praktikal melibatkan sistem semikonduktor, infrastruktur tenaga dan penyelesaian industri pintar.
“Bagi Sarawak, ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh keupayaan tempatan, menggalakkan pembangunan teknologi serta meningkatkan penyertaan dalam industri bernilai tinggi,” katanya pada sidang media selepas MoU.
Terdahulu, majlis pertukaran dokumen disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang ditandatangani wakil masing-masing pada majlis di DUN di sini.
Beliau berkata, inisiatif itu juga akan membantu mempercepat usaha pemusatan teknologi bernilai tinggi serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat Sarawak, khususnya dalam sektor yang bakal memacu ekonomi global masa depan.
Wan Lizozman berkata, kerjasama itu bakal membuka laluan kepada penggunaan cip semikonduktor dibangunkan Sarawak dalam aplikasi dunia sebenar termasuk inverter solar generasi baharu, Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), meter pintar dan sistem infrastruktur pintar.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor Shariman Jamil pada sidang media berkata, SMD Semiconductor terus memperkukuh pembangunan bakat tempatan menerusi pelaksanaan program latihan khusus dalam bidang reka bentuk cip semikonduktor.
Katanya, pembangunan bakat merupakan asas utama dalam pelan hala tuju syarikat sejak memulakan operasi di negeri ini.
Beliau berkata, antara fokus utama ialah melahirkan bakat tempatan bermula daripada peringkat universiti sehingga memasuki alam pekerjaan menerusi program latihan intensif dikenali sebagai Mastery Semiconductor Programme selama enam bulan.
“Sehingga kini, kami telah melahirkan lebih 50 jurutera reka bentuk cip dan selepas tamat kursus, mereka menerima gaji minimum sekitar RM5,000.
“Ini yang kita mahu lihat, graduan muda Sarawak terlibat dalam aktiviti perniagaan bernilai tinggi supaya mereka dapat memperoleh pendapatan lebih baik,” katanya.
Hadir sama pada majlis MoU, Ketua Pegawai Eksekutif Photovoltaic Foundry Pte Ltd Liong Hang Cek dan Pengurus Besar Linyang Group Yuan Hairong.