10 Graduan Tempatan Kini Kuasai Teknologi Cip Anjuran SMD Semiconductor

23 January 2026
 | 
2 min read
Featured Image

ASYRAF HALIM EKONOMISARAWAK 3:58 pm

KUCHING: Hala tuju Sarawak melahirkan pakar industri semikonduktor berada pada landasan tepat susulan kejayaan 10 anak tempatan menamatkan program latihan reka bentuk litar bersepadu (IC) anjuran SMD Semiconductor.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, kejayaan mereka itu membuktikan kemampuan bakat tempatan dalam industri berteknologi tinggi tersebut.

“Kesemua 10 peserta merupakan graduan anak Sarawak yang bukan sekadar mengikuti latihan asas industri, sebaliknya program ini merupakan latihan lanjutan bagi membolehkan mereka menguasai reka bentuk IC sepenuhnya,” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Token Tamat Program kohort pertama Program Penguasaan Semikonduktor Reka Bentuk IC Digital SMD Semiconductor–CENTEXS di Akademi SMD, hari ini.

Menurut beliau, sebahagian peserta sudah menerima tawaran kerjaya malah terdapat dalam kalangan mereka yang mula bekerja sebelum tamat tempoh latihan.

“Peranan Kerajaan Sarawak dan SMD Semiconductor tertumpu kepada latihan kepakaran dan bukan penempatan pekerjaan secara langsung. Tugas kami adalah melatih mereka secara khusus dalam reka bentuk IC dan kemahiran yang diperoleh ini sememangnya menawarkan peluang kerjaya yang sangat luas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan industri reka bentuk IC menuntut asas akademik kukuh khususnya dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik (E&E).

“Perkara ini penting untuk disampaikan kepada generasi muda memandangkan industri semikonduktor merupakan tulang belakang teknologi moden. Jika berminat menyertai industri ini, mereka perlu cemerlang dalam bidang STEM dan melanjutkan pengajian dalam kejuruteraan elektrik serta elektronik,” jelasnya.

Sagah turut mendedahkan permintaan terhadap tenaga pakar reka bentuk IC amat tinggi di peringkat persekutuan mahupun negeri dengan tawaran gaji lumayan.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang Sarawak untuk membangunkan bakat bernilai tinggi yang relevan dengan industri selaras Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030 – Beyond Moore’s Law serta Strategi Pembangunan Pasca-COVID (PCDS) 2030.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil memaklumkan peranan graduan berkenaan tidak terhad di Sarawak sahaja tetapi merangkumi ekosistem semikonduktor global.

“Kepakaran pereka IC digital semakin kritikal bagi membolehkan teknologi generasi seterusnya dan daya tahan industri jangka panjang. Kejayaan kohort pertama ini membuktikan bahawa dengan latihan tepat serta penjajaran industri yang kukuh, bakat tempatan mampu bersaing dan menyumbang secara yakin dalam ekosistem global,” katanya.

Back to top Arrow